Khidmat bakti perwira negara semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai harganya - PM - Utusan Malaysia

Khidmat bakti perwira negara semasa pandemik Covid-19 tidak ternilai harganya – PM

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sumbangan dan khidmat bakti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya ketika bertugas di barisan hadapan ketika negara berdepan penularan wabak Covid-19, tidak ternilai harganya.

Perdana Menteri berkata, dalam memerangi pandemik, para pahlawan di barisan hadapan keselamatan membuktikan kesungguhan mereka dalam mempertaruh nyawa demi melindungi rakyat Malaysia, sehingga ada antara mereka turut dijangkiti dan kehilangan nyawa.

“(Semua khidmat mereka) daripada mengawal sempadan negara kepada sekatan jalan raya, daripada memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kepada membantu golongan terkesan dengan agihan bakul makanan, daripada membantu menggerak program vaksinasi kepada merawat pesakit Covid-19 yang terjangkiti.

“Para wira dan wirawati barisan hadapan ini sentiasa sederap bersama-sama pahlawan barisan hadapan kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pahlawan hari ini. 

Muhyiddin berkata, kepada perwira yang masih dalam tugasan, jasa dan sumbangan amat dihargai dan didoakan agar semua diberi kesihatan dan dilindungi daripada segala bahaya serta kemudaratan.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan buat ahli keluarga perwira negara yang terkorban semasa bertugas, jasa dan pengorbanan mereka tentunya tidak akan disia-siakan. 

“Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh. Tentunya pengorbanan mereka terus dikenang sepanjang zaman.

“Segala jerit perih, komitmen serta pengorbanan para pahlawan dan perwira negara, sama ada dahulu atau sekarang adalah demi mempertahankan keamanan, kemakmuran dan kedaulatan negara. 

“Semoga khidmat bakti dan pengorbanan mereka disanjung tinggi dan diberkati. Insya-Allah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya