PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 482 individu yang dicekup semalam dengan seramai 457 dikompaun, 11 direman dan 14 dijamin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejumlah 49 premis yang meliputi masing-masing kilang, premis perniagaan dan tapak pembinaan juga diarahkan tutup oleh pasukan Task Force Operasi Pematuhan kerana didapati ingkar SOP.
“Pasukan ini melakukan pemeriksaan ke atas 1,300 kilang, 14,025 premis perniagaan, 360 tapak pembinaan dan 173 asrama penempatan pekerja,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lapan pendatang asing tanpa izin turut ditahan dan dua buah kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.
Menyentuh isu kuarantin wajib, katanya. seramai 699 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 9,476 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 80 hotel serta 12 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 620 peruncit, 167 pemborong dan 32 pengilang termasuk melakukan 2,026 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan lima premis terbabit dikompaun dan satu diberikan amaran.
Beliau juga mengesahkan, 23 daripada 99 pekerja asing disahkan positif Covid-19 di seluruh negara semalam setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia. – UTUSAN ONLINE