PUTRAJAYA: Bilangan pesalah ingkar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di seluruh negara semalam merekodkan 433 individu diberkas dengan seramai 408 dikompaun manakala 25 lagi direman.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seramai 39 pendatang tanpa izin pula turut ditahan dan empat kenderaan darat disita semalam melalui Operasi Benteng.
“Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 990 individu telah tiba di tanah air semalam dengan kesemua mereka diarahkan menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 9,174 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di sebanyak 81 hotel serta 11 buah institusi latihan awam dan swasta di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga mengesahkan, cuma empat daripada 40 pekerja asing disahkan positif Covid-19 di seluruh negara semalam setelah melalui ujian saringan wajib kelolaan Kementerian Sumber Manusia.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barangan di 575 peruncit, 132 pemborong dan 31 pengilang termasuk melakukan sejumlah 1,843 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan hanya enam premis terbabit yang dikenakan kompaun. – UTUSAN










