PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini pernah menambah baik status doktor kontrak dengan dinaikkan daripada gred UD41 kepada UD43 dalam usaha memberi kedudukan terbaik kepada pegawai perubatan berkenaan.
Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata, walaupun Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu mengecilkan saiz perjawatan kakitangan awam, namun kerajaan PH tetap mahu memberi kedudukan sewajarnya kepada doktor kontrak.
“Jangan kata PH memandang sepi perkara ini. Sebenarnya pada tahap awal dulu, kami sudah berjaya untuk mendapatkan satu kedudukan agak baik di mana pekerja kontrak itu diberikan daripada UD41 kepada UD43.
“Dalam keadaan Perdana Menteri pada ketika itu mahu mengecilkan saiz perjawatan dalam perkhidmatan awam, Kementerian Kesihatan ketika itu mampu mendapat 10,867 perjawatan antara lainnya adalah perjawatan doktor dan perkhidmatan yang lain,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Justeru bekas Menteri Kesihatan berkenaan menjelaskan, kerajaan perlu meneliti permintaan kumpulan itu yang antara lainnya mahukan laluan yang lebih jelas mengenai masa depan mereka.
“Dalam hal ini, paling tidaknya seperti yang dituntut oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan hartal kontrak, kita perhatikan apa yang mereka mahukan adalah suatu yang sangat munasabah antara lainnya memastikan proses pelantikan mereka itu telus dan adil berdasarkan merit dan diberikan peluang menjalani program ‘post-graduate’ sama ada melalui HLP (Hadiah Latihan Persekutuan) atau Parallel Pathways di luar negara.
“Seterusnya adalah untuk mendapatkan layanan yang adil dan saksama. Atas perkara ini saya mohon ia dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya.










