Kerajaan perlu tampil dengan pelan komprehensif isu doktor kontrak - Utusan Malaysia

Kerajaan perlu tampil dengan pelan komprehensif isu doktor kontrak

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu tampil dengan pelan penyelesaian komprehensif dengan mengambil kira kemaslahatan jangka panjang serta keperluan keseluruhan sistem kesihatan negara dalam berdepan dengan isu doktor kontrak di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana negara sedang berhadapan dengan darurat kesihatan yang teruk dan masalah ini tidak boleh dibenarkan berlarutan.

Menurut beliau, kerajaan wajar menunjukkan empati yang mendalam terhadap desakan pegawai perubatan muda terbabit.

“Hartal doktor kontrak akan diteruskan esok. Tindakan ini dijangka memberi kesan kritikal kepada kelancaran sistem perkhidmatan kesihatan kita.

“Tuntutan mereka dalam isu seperti gaji, pengambilan tetap, elaun, peluang melakukan program kepakaran serta manfaat-manfaat lain adalah perkara yang dituntut dengan jelas, konsisten dan rasional,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Sebelum ini, sekumpulan doktor kontrak yang berkhidmat dengan kerajaan mahu meneruskan rancangan mereka untuk mengadakan hartal pada esok hari selepas Putrajaya belum menyatakan tawaran bagi mengambil mereka sebagai kakitangan awam bertaraf tetap.

Sejak 2016, hanya seramai 786 pegawai perubatan saja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar Johor turut memberitahu, tawaran kerajaan yang diumumkan beberapa hari lalu wajar diberi ruang untuk dibincang dan dipertimbangkan.

“Jika ia tidak memadai, maka ia harus menjadi asas untuk rundingan seterusnya. Pastinya tidak semua permintaan dapat dipenuhi dan tidak semua tawaran kerajaan harus ditolak sebegitu sahaja.

“Izinkan Hartal ini berlaku esok sebagai menghormati kebebasan bersuara kumpulan doktor perubatan ini tetapi kemudian segeralah kedua-dua pihak kembali semula ke meja rundingan,” ujarnya.

Mohamed Khaled turut meminta kerajaan dan kumpulan doktor muda di negara ini agar memikirkan kepentingan nasional dalam masa sama mengimbangi jasa dan pengorbanan pengamal perubatan negara. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN