PETALING JAYA: Kerajaan menggariskan tiga paksi utama untuk menangani ancaman Covid-19 terhadap kesihatan rakyat, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut beliau, pertama adalah memutuskan rantaian penularan wabak melalui pemerkasaan ujian saringan, pengesanan kontak dan langkah pengasingan.
“Kedua mengurangkan kadar morbiditi dan kematian melalui peningkatan kapasiti sistem penjagaan kesihatan termasuk mengoptimumkan kapasiti hospital pengajar universiti, kapasiti di bawah Kementerian Pertahanan dan juga melalui penyumberan luar ke hospital swasta.
“Selain itu, ketiga adalah melindungi kesihatan rakyat secara keseluruhan dengan menyediakan sokongan yang mencukupi bagi keperluan selain Covid-19.
“Kerajaan juga menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia. Oleh itu, langkah-langkah khusus telah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat berkaitan isu kesihatan mental seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan dan penyaluran dana kepada NGO berkaitan kesihatan mental,” katanya ketika penerangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam Sidang Khas Parlimen hari ini.










