KUANTAN: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan bahawa ordinan darurat sudah dibatalkan dengan menyatakan Kabinet memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan darurat mengelirukan kerana tempoh berkenaan di bawah proklamasi darurat adalah sehingga 1 Ogos ini.
Keputusan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan darurat tidak bermakna ordinan darurat atau proklamasi darurat telah dibatalkan.
Berkongsi pandangan dengan Utusan Online, seorang peguam kanan, Mohd. Zainuddin Omar berkata, kenyataan ordinan-ordinan darurat telah dibatalkan tidak menjelaskan kedudukan proklamasi darurat itu sendiri sehingga menyebabkan ada pihak menghujahkan hanya ordinan-ordinan dibatalkan, tetapi proklamasi darurat tidak dibatalkan dan darurat kekal berkuat kuasa sehingga 1 Ogos ini.
Jelasnya, proklamasi dan ordinan-ordinan darurat boleh dibatalkan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah dibentangkan, atau usul Parlimen yang bersidang sekarang dengan pembahasan dan undian menurut Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya menteri mendakwa proklamasi darurat tersebut pun sudah dibatalkan oleh keputusan Kabinet pada 21 Julai lalu bersama-sama ordinan-ordinan darurat lain (yang mana Jemaah Menteri tiada kuasa membatalkannya), ia tetap masih belum diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan belum digazet untuk pembatalan itu berkuat kuasa.
“Oleh itu, ia tetap perlu dibahaskan di Parlimen menurut Perkara 150(3), bukan dielak atas alasan sudah dibatalkan,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, Takiyuddin memaklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.
Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, perkara tersebut telah diputuskan pada 21 Julai lalu.
Mohd. Zainuddin berkata, pembatalan ordinan-ordinan darurat dan proklamasi darurat oleh Jemaah Menteri secara sendiri melalui mesyuarat Jemaah Menteri adalah tidak mengikut peruntukan perlembagaan.
“Dalam melaksanakan fungsi kuasa legislatif di bawah Perkara 150, Yang di-Pertuan Agong tidak tertakluk kepada nasihat eksekutif.
“Sebaliknya mekanisme semak dan imbang telah diperuntukkan dalam Perkara 150(3) untuk proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat dibahaskan di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, untuk proklamasi darurat dan ordinan-ordinan darurat, ia mesti diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah kuasa Seri Paduka di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, bukan oleh Jemaah Menteri sendiri.