ISKANDAR PUTERI: Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal ‘Kerajaan Allah’ dalam hantaran media sosial miliknya dianggap satu tindakan yang bukan sahaja menyentuh sensitiviti, tetapi melampaui batas.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd. Akmal Melan berkata, kenyataan Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu biadap dan perlu dikecam oleh umat Islam di negara ini.
Sehubungan itu, katanya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan tegas kerana permohonan maaf adalah terlalu klise.
“Apakah tujuan dia (Kit Siang) yang menyamakan kerajaan manusia yang serba kekurangan ini dengan Kerajaan Allah. Sedangkan maksud penulisan Presiden Pas bukanlah begitu dan ia amat mudah untuk difahami.
“Tiada satu ayat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang boleh membawa kepada kefahaman seperti yang difahami dia jika dibaca berulang kali sekalipun.
“Adakah Kit Siangseorang yang Islamofobik hingga sanggup mengeluarkan kenyataan yang melukakan perasaan dan hati umat Islam. Jika benar, maka dia seharusnya dikenakan tindakan kerana cubaan menerapkan kebencian agama,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Kit Siang baru-baru ini memuat naik satu kenyataan bahasa Inggeris dalam laman Facebooknya yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.
Beliau menulis, ‘If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be ‘Allah’s government’,”.
Abdul Hadi sebelum itu menerusi catatan dalam Facebooknya pula mengulangi, pandemik Covid-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna’ boleh menghapuskan virus itu.
Jelas Ahli Parlimen Marang itu, manusia tetap mempunyai kekurangan dan kelemahan, justeru pemimpin perlu bermuhasabah diri untuk menampung kekurangan berkenaan.
Mengulas lanjut, Mohd Akmal berkata, sebagai umat Islam yang beriman semestinya tidak dapat menerima kenyataan dikeluarkan ahli politik DAP tersebut kerana sudah melampaui batas.
“Apakah dia akan menerima jika agama anutannya dipertikai sebegitu rupa, sudah tentu tidak. Saya juga menyeru ahli DAP yang beragama Islam untuk bangkit mengecam kenyataan yang dibuat Kit Siang. Ini soal agama, bukan politik dan jika benar sayangkan agama bangkit dan bersuara. Itu pun jika berani.
“Di era pandemik yang sedang melanda negara, ada juga yang bermain sentimen agama demi kepentingan politik. Adalah amat memalukan sekali kerana sebagai orang lama, seharusnya sedar bahawa negara ini majoritinya beragama Islam,” katanya.
Dalam pada itu, beliau akan membuat satu laporan polis berhubung isu tersebut pada petang ini di Ibu Pejabat Polis Iskandar Puteri di Taman Nusa Bistari, dekat sini. – UTUSAN ONLINE