Kementerian Sumber Manusia tangguh bayaran balik pinjaman PTPK - Utusan Malaysia

Kementerian Sumber Manusia tangguh bayaran balik pinjaman PTPK

M. SARAVANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia akan melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman latihan kemahiran Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) secara bersasar selama tiga bulan kepada peminjam yang layak.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penangguhan bayaran itu dibuat berikutan terdapat peminjam PTPK yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan masih belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.

Beliau berkata, penangguhan itu akan melibatkan bayaran balik pinjaman berjumlah RM35.3 juta dan akan memberi manfaat kepada 89,730 bilangan akaun.

“Sebelum ini, PTPK telah melaksanakan tiga kali penangguhan bayaran balik yang memberikan manfaat kepada 179,000 akaun berjumlah RM220 juta.

“Kementerian amat prihatin dan peka terhadap kekangan kewangan serta kesukaran hidup yang dihadapi sebilangan peminjam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, beliau difahamkan ada antara peminjam yang bekerja dengan syarikat atau majikan yang terpaksa memberhentikan operasi sepenuhnya, dibayar separuh gaji, dibuat pemotongan gaji dan diberi Cuti Separuh Gaji atau Cuti Tanpa Gaji (CTG).

Saravanan berkata, pihak kementerian berharap penangguhan bayaran itu yang juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPK.

Menurutnya, peminjam PTPK yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui borang penangguhan yang boleh diisi di laman sesawang PTPK mulai hari ini hingga 30 September depan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh mengemukakan email kepada [email protected] atau [email protected].

“Maklumat lanjut juga boleh diperolehi melalui laman web rasmi PTPK www.ptpk.gov.my,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN