PORT DICKSON: Kematian seorang pembantu farmasi, Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, K. Viknesh, 29, ketika tiba di Hospital Port Dickson dengan menaiki sebuah ambulans selepas dia dilaporkan rebah di tempat kerja semalam, adalah disebabkan serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, punca kematian mangsa berasal dari Seremban itu didapati hasil bedah siasat yang dijalankan pada pukul 4 petang semalam.
“Kes kematian ini disiasat sebagai mati mengejut dan hasil bedah siasat oleh Dr. Mohd. Syafiq Mohd. Zamani pada pukul 4 petang mendapati punca kematian mangsa adalah disebabkan oleh serangan jantung ataupun Coronary Artery Trombosis.
“Hasil bedah siasat juga mendapati tiada sebarang perlakuan atau unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mendapat maklumat pada pukul 8.15 pagi semalam terdapat seorang kakitangan lelaki tidak sedarkan diri di Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, dekat sini.
Menurutnya, mangsa telah mengadu sakit dada dan secara tiba-tiba rebah dan pengsan semasa sedang bertugas di klinik tersebut.
Tambah beliau, mangsa juga telah diberikan rawatan oleh doktor yang bertugas namun masih tidak sedarkan diri.
“Pada pukul 8.30 pagi, mangsa dikejarkan ke Hospital Port Dickson dengan diiringi oleh tiga petugas kesihatan klinik yang sama. Apabila sampai di hospital, petugas hospital mendapati rakan sekerja yang mengiringi mangsa turut tidak sedarkan diri di dalam ambulans tersebut.
“Mangsa pula telah disahkan meninggal dunia. Ketiga-tiga petugas kesihatan yang masing-masing berusia dalam lingkungan 30-an telah dibawa ke unit kecemasan untuk rawatan lanjut,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga rakan sekerja mangsa itu telah menerima rawatan dan telah sedar dan dipindahkan masuk ke wad hospital yang sama.
“Ekoran kejadian ini, sepasukan anggota Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Negeri Sembilan telah menjalankan ujian pengesanan gas di dalam ambulans yang digunakan dan telah berjaya mengesan kandungan karbon monoksida yang tinggi di dalam kabin ambulans tersebut.
“Pihak hospital turut mengesan kandungan gas yang sama dalam paru-paru salah seorang mangsa petugas yang tidak sedarkan diri di dalam kabin ambulans tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, Aidi Sham berkata, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang penyebaran berita tidak benar atau sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan awam.
“Tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjaran tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.










