(KEMAS KINI) Keracunan karbon monoksida dalam ambulans - Utusan Malaysia

(KEMAS KINI) Keracunan karbon monoksida dalam ambulans

PASUKAN Hazmat melalukan pemeriksaan terhadap sebuah ambulans d yang dinaiki empat mangsa dalam kejadian dipercayai kebocoran gas dalam ambulans di Hospital Port Dickson, hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah dekat sini yang tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Port Dickson dekat sini, disahkan keracunan gas karbon monoksida di dalam ruang kabin ambulans yang dinaiki mereka.

Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Negeri Sembilan, Timbalan Penguasa Bomba, Mohammad Idris berkata, gas tersebut dikesan pihaknya dalam pemeriksaan dan ujian secara statik dan perjalanan terhadap ambulans tersebut.

Ujar beliau, ujian menggunakan alat pengesanan gas dalam tempoh 10 minit perjalanan menggunakan kenderaan tersebut mendapati bacaan kandungan gas karbon monoksida yang tinggi dicatatkan dalam kabin iaitu sehingga mencecah 87ppm.

“Itu dalam tempoh 10 minit perjalanan sahaja dan kadar bacaan berkenaan berkemungkinan bertambah mengikut tempoh masa dan jarak perjalanan dari Klinik Kesihatan Bukit Pelandok ke Hospital Port Dickson.

“Pihak hospital juga mengesahkan telah menjumpai gas yang sama dalam paru paru salah seorang mangsa yang pengsan dan tidak sedarkan diri tersebut, Ketiga-tiga mereka kini kesemuanya dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Port Dickson, di sini, hari ini.

Utusan Online hari ini melaporkan, tiga petugas Klinik Kesihatan Bukit Pelandok, Chuah dekat sini tidak sedarkan diri ketika tiba di Hospital Port Dickson dekat sini, pagi tadi ketika membawa seorang rakan mereka yang juga merupakan petugas di klinik kesihatan sama yang tiba-tiba rebah.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pada awalnya, pasukan bomba menerima panggilan pada pukul 9.30 pagi yang memaklumkan terdapat kebocoran gas di klinik kesihatan berkenaan dan anggotanya telah ke lokasi bagi pemeriksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan bagaimanapun mendapati tiada kebocoran gas berlaku di premis tersebut.

“Kami difahamkan, seorang petugas klinik tersebut yang merupakan lelaki berusia 29 tahun telah rebah di klinik sebelum tiga rakan sekerjanya membantu membawanya ke hospital menggunakan sebuah ambulans.

“Bagaimanapun sebaik sahaja tiba di hospital kesemua mangsa didapati pengsan dan tidak sedarkan diri,” katanya.

Sementara itu, Mohammad memberitahu, turut sama berada dalam ambulans tersebut pemandu dan jururawat yang duduk di bahagian hadapan dan kedua-dua daripada mereka tidak mengalami sebarang masalah.

“Apabila kakitangan hospital membuka pintu belakang ambulans didapati kesemua tiga petugas kesihatan itu dan rakan mereka yang rebah itu berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pihak bomba mempercayai berlaku kebocoran gas dalam ambulans kerana kejadian sama berlaku semalam melibatkan seorang petugas kesihatan yang turut pengsan ketika menaiki ambulans yang sama,” katanya yang memberitahu ada di antara mangsa mulutnya berbuih ketika ditemui tidak sedarkan diri di dalam kabin ambulans tersebut.

Ketiga-tiga mangsa termasuk seorang doktor klinik tersebut yang berusia 29 tahun berada dalam keadaan stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed memaklumkan mangsa yang meninggal dunia merupakan seorang pembantu farmasi di klinik tersebut.

“Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa telah mengadu sakit dada dan secara tiba-tiba telah rebah semasa sedang bertugas di klinik tersebut. Mangsa kemudiannya telah dibawa menaiki ambulans untuk dihantar ke hospital dengan diiringi oleh seorang pegawai perubatan dan dua orang pembantu perubatan.

“Apabila tiba di hospital, mangsa telah disahkan meninggal dunia manakala tiga orang lain yang mengiringi mangsa telah dibawa ke unit kecemasan kerana tidak sedarkan diri.  Setakat ini, ketiga-tiga mangsa sudah kembali sedar dan berada dalam keadaan stabil namun masih menerima rawatan di wad,” katanya lagi.

Tambah beliau, siasatan adalah diklasifikasikan sebagai ‘mati mengejut’ dan hasil ujian calitan Covid-19 juga mendapati mangsa bebas jangkitan tersebut dan edah siasat akan dijalankan untuk menentukan punca kematian. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya