KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) hanya membenarkan ibadat korban di rumah sembelihan ruminan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) serta masjid bandar, jajahan dan mukim tertentu yang mendapat kelulusan.
Yang Dipertua Maik, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, rumah sembelihan atau kompleks abatoir terbabit terdapat di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Machang serta Pasir Mas.
Sementara itu katanya, aktiviti korban tidak dibenarkan dilakukan secara persendirian bersama keluarga serta di seluruh kawasan yang terbabit dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Peserta ibadat korban juga tidak dibenarkan hadir dan hanya perlu mewakilkan kepada penganjur bagi menyempurnakan akad dan wakalah.
“Sembelihan bagi seekor haiwan ruminan besar seperti lembu atau kerbau tidak boleh melebihi 10 petugas manakala hanya lima individu dibenarkan dalam kerja-kerja menyembelih seekor ruminan kecil iaitu kambing dan biri-biri.
“Jarak lokasi haiwan yang akan disembelih perlu tidak kurang dari lima meter dan hanya dua ekor haiwan dibenarkan disembelih dalam satu-satu masa. Bilangannya dihadkan sebanyak lima ekor sehari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga Tengku Temenggung Kelantan berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu diputuskan menerusi Mesyuarat Khas Mengenai Pelaksanaan Korban Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini kelmarin.
Mesyuarat itu turut dihadiri Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad bersama wakil Kementerian Kesihatan, Bahagian Kerajaan Tempatan Kerajaan Negeri, JPV Kelantan dan polis.
“Pematuhan SOP bagi semua pihak terlibat iaitu penganjur, peserta dan petugas dalam pelaksanaan ibadah korban akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan Covid-19.
“Ketegasan pengurusan menjadi faktor utama dalam keberkesanan garis panduan yang disediakan,” katanya.