Kebun Musang King: Siasat semua tanah haram di Pahang - Utusan Malaysia

Kebun Musang King: Siasat semua tanah haram di Pahang

HASLIHELMY DM ZULHASLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan negeri perlu melakukan operasi penguatkuasaan bukan hanya di daerah Raub, dekat sini yang membabitkan pengusaha durian Musang King, malah di seluruh negeri ini bagi memastikan semua peneroka haram dikenakan tindakan sama.

Langkah itu penting bagi memastikan semua yang terlibat dalam penerokaan tanah haram sama ada secara langsung atau tidak langsung dikenakan tindakan berlandaskan undang-undang. 

Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy Dm Zulhasli berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berpandangan adalah mustahil penerokaan tanah haram melibatkan ribuan hektar di luar pengetahuan pihak yang bertanggungjawab.

“PSAP menyokong penuh usaha kerajaan negeri membanteras penerokaaan tanah haram yang rata-ratanya telah puluhan tahun dibuat, jangan berkompromi dalam membanteras kegiatan itu. 

“Cuma kita berharap penguatkuasaan itu biarlah menyeluruh dan dilakukan di seluruh negeri ini, jangan gentar dengan provokasi dan tekanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Kelmarin, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King dalam operasi penguatkuasaan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub. 

Jabatan itu dalam kenyataannya memaklumkan,  sepanjang operasi itu dijalankan, mereka berdepan dengan keadaan provokasi pekebun haram termasuk  membuat halangan kepada kenderaan untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, anggota jabatan tersebut juga dihalang daripada menjalankan tugas.

Semalam, Mahkamah Majistret Raub dekat sini membenarkan 18 pekebun durian Musang King terbabit direman dua untuk siasatan lanjut.

Haslihelmy berkata, lebih 17,000 ahli PSAP di seluruh negeri ini menyokong ketegasan kerajaan negeri dalam isu penerokaan tanah haram.

“PSAP berharap kerajaan Pahang akan terus konsisten di atas ketegasan yang dilaksanakan.

“Jangan berganjak ke belakang atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan. PSAP akan terus memberikan dokongan padu kepada usaha kerajaan negeri,” katanya.

Jelasnya, selain PSAP, 16 badan gabungan NGO negeri ini turut bersama kerajaan negeri dan anggota keselamatan dalam menjalankan tugas penguatkuasaan penerokaan haram. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya