KUANTAN: Operasi penguatkuasaan memusnahkan kebun haram durian Musang King dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub dekat sini, bukan berkaitan politik dan perkauman.
Sebaliknya, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, operasi itu yang menyaksikan 18 orang disyaki pekebun haram durian Musang King ditahan semalam, adalah bagi mempertahan hutan simpan kekal.
Katanya, ia juga mengenai mengembalikan hak anak cucu pewaris generasi akan datang.
“Untuk rekod, mereka ini ditahan pihak berkuasa semalam kerana menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.
“Harap isu kuat kuasa tanah Hutan Simpan Kekal Batu Talam ini tidak dipolitikkan.
“Ini bukan cerita politik. Bukan juga cerita perkauman. Ini cerita mempertahankan hutan simpan kekal. Ini cerita mengembalikan hak anak cucu pewaris generasi akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Felda Pahang, Ahmad Faizal Sulaiman berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan negeri dalam ketegasan membuat tangkapan kepada individu yang menceroboh tanah dalam negeri Pahang.
Jelasnya, tindakan bersepadu perlu terus dilakukan untuk mengekang fenomena penerokaan dan pencerobohan tanah haram.
“Majlis Belia Felda Pahang sentiasa menyokong penuh penguatkuasaan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini,” katanya.
Pengerusi Persatuan Belia Pamah Ramas Ulu Dong (PBPRUD), Nur Amin Nor Azahar pula berkata, NGO itu berharap isu pencerobohan tanah haram di negeri ini dapat diselesaikan segera terutama di daerah Raub.
Menurutnya, PBPRUD berharap kerajaan negeri terus konsisten di atas ketegasan itu dan tidak berganjak ke belakang walau setapak atas segala tekanan dan provokasi melampau pihak berkaitan.
“Kita mengingatkan kepada penceroboh atau mana-mana individu atau kumpulan penceroboh supaya tidak menghalang tugas penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN ONLINE