Kawasan Orang Asli Semelai kena PKPD mulai Isnin

Kawasan Orang Asli Semelai kena PKPD mulai Isnin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu penempatan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Semelai di Pahang antara 12 lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Isnin hingga 1 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan Pos Iskandar dekat Pekan Kemayan, Daerah Bera yang juga kawasan Parlimen diwakili beliau meliputi beberapa perkampungan komuniti tersebut antaranya Putat, Pelawan, Bapak, Gau dan Lenek.

Beliau berkata, turut dikenakan PKPD di negeri itu ialah perkampungan pelancongan terkenal, Kuala Medang, Sungai Koyan, Daerah Lipis, selain empat lokaliti dalam Daerah Rembau, Negeri Sembilan iaitu Taman Chembong Utama, Taman Chembong Jaya, Taman Setia Raja dan Taman KSNS.

“Di Sarawak pula, dua lokaliti dalam Daerah Lundu, Bahagian Kuching turut diwartakan PKPD iaitu Kampung Pasir Hilir dan Kampung Garung termasuk empat lokaliti di sabah antaranya Apartment Seri Maju, Daerah Kota Kinabalu dan Kampung Tinusa 2, Bahagian Sandakan.

“Dua lokaliti lagi terletak dalam Bahagian Tawau iaitu QL Farm Breeder Sdn. Bhd di Jalan Stesen TV, Batu 5, Apas dan kuarters pekerja Onika Quarry Sdn. Bhd. di Jalan Air Panas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan, PKPD melibatkan dua lokaliti di negeri tersebut yang sepatutnya tamat esok disambung lagi melibatkan kawasan Taman Zifa, Bingkul, Daerah Beaufort, dan Kampung Simpangan, Daerah Kota Marudu, Bahagian Kudat.

Turut dilanjutkan PKPD ialah tiga lokaliti dalam Daerah Kuala Muda, Kedah iaitu Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang selain Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Jajahan Pasir Puteh, Kelantan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN