Kastam tumpaskan cubaan seludup masuk 14,150kg beras - Utusan Malaysia

Kastam tumpaskan cubaan seludup masuk 14,150kg beras

ZAZULI Johan (dua dari kanan) menunjukkan sebahagian beras yang dirampas pihaknya di Pelabuhan Barat, Klang. - GAMBAR IHSAN JKDM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan satu sindiket menyeludup masuk beras berjumlah 14,150 kilogram (kg) di negara ini, awal bulan lalu berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit III (LTA Kuala Lumpur) di Pelabuhan Barat, di sini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zazuli Johan berkata, insiden tersebut berlaku ketika anggotanya menahan sebuah kontena yang membawa bahan makanan itu untuk pemeriksaan pada 3 Jun kira-kira pukul 11 pagi.

“Modus operandi kes ini ialah dengan membuat pengisytiharan tidak benar ke atas pengimportan beras dari India dengan mengikrarnya sebagai Indian grocery bagi mengelak daripada mengemukakan lesen import ketika dibawa masuk.

“Hasil siasatan mendapati kesemua beras yang disita adalah diimport dari luar negara tanpa lesen import yang sah serta tanpa membayar cukai dan duti ke atasnya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menambah, kesemua beras yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM113,200 dengan jumlah cukai sebanyak RM45,280.

Menurut Zazuli, pihaknya turut menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes terbabit yang membawa kepada pengesanan beberapa pihak terlibat dalam penyeludupan itu.

“Beras diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Butiran 5, Jadual Kedua, Bahagian I Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN