Kabinet terbubar jika Muhyiddin letak jawatan - Kit Siang - Utusan Malaysia

Kabinet terbubar jika Muhyiddin letak jawatan – Kit Siang

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh menjadi Perdana Menteri sementara sekiranya Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Kabinet terbubar sekiranya Perdana Menteri meletak jawatan.

“Justeru amat mengejutkan apabila ada pemimpin UMNO berkata Ismail Sabri yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh menjadi Perdana Menteri sementara jika Muhyiddin meletakkan jawatan dengan mengambil kira peranan pentingnya dalam perang melawan pandemik Covid-19.

“Namun apa yang lebih mengejutkan, kenyataan itu dibuat tanpa mempedulikan fakta Perlembagaan bahawa Kabinet akan terbubar selepas Perdana Menteri meletak jawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam tokoh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Ismail Sabri boleh dilantik Perdana Menteri sementara jika Muhyiddin letak jawatan bagi memastikan kerajaan hari ini tidak goyang.

Dalam pada itu, Kit Siang menambah, kerajaan Muhyiddin kini dilihat goyah tetapi masih tidak tumbang setakat semalam ekoran keputusan Majlis Tertinggi UMNO yang menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri.

“Pemimpin tertinggi UMNO berkata penarikan sokongan oleh UMNO itu menyasarkan Muhyiddin bukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan meskipun Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media menyenaraikan tujuh kegagalan terbesar kerajaan Muhyiddin yang menjadi sebagai asas kepada keputusan Majlis Tertinggi UMNO,” katanya.

Tambah beliau, Malaysia memerlukan sebuah strategi dan pendekatan baharu melibatkan keseluruhan kerajaan serta keseluruhan masyarakat jika mahu menang dalam perang melawan pandemik Covid-19 yang mengancam bukan sahaja kehidupan rakyat malah kestabilan ekonomi negara.

“Bahtera Malaysia mula bocor dan semua rakyat Malaysia harus bekerja keras untuk memperbaiki kebocoran ini bagi mengelakkan bahtera ini daripada terus karam ke lautan dalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN