JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal, Maimun Said yang diserang penyakit angin ahmar sebanyak dua kali dalam masa enam bulan hingga tidak mampu berjalan akhirnya mengibar ‘bendera putih’ merayu bantuan orang ramai demi kelangsungan hidup bersama tiga orang anaknya.
Lebih menyayat hati, Maimun sekeluarga terpaksa mengosongkan rumah sewa yang didiami ketika ini di Jalan Berebang 2, Kampung Rumah 10, Plentong, di sini pada Sabtu ini kerana sewa rumah tidak berbayar dua bulan.
Maimun, 50, berkata, jika diikutkan dia tidak mahu meminta-minta apatah lagi merayu ihsan serta bantuan orang, namun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan memaksanya menagih simpati.
Jelas Maimun, kesihatannya mula terjejas apabila diserang penyakit angin ahmar yang menyebabkan bahagian kanan anggota badan dari tangan hingga kaki hilang upaya, Oktober tahun lalu.
“Saya cuba kuatkan semangat dan penyakit itu menunjukkan tanda positif untuk pulih pada hujung tahun lalu. Namun, pada Mac lalu saya diduga sekali lagi di anggota badan yang sama.
“Keadaan bertambah parah, apabila anak kedua yang tinggal bersama menjadi tonggak menyara keluarga diberhentikan kerja kilang beberapa bulan lalu,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Maimun berkata, biarpun anaknya, Nik Mohd. Mazrulhafendi Nik Mazlan, 28, sudah mendapat kerja baharu sebagai pengawal keselamatan bulan lalu, mereka bagaimanapun masih tidak dapat membayar tunggakan sewa rumah berjumlah RM1,400.
Katanya, faktor kesihatan yang merudum memaksa dia menggunakan kerusi roda dan perlu memakai lampin dewasa setiap masa selain tidak lagi dapat mencari rezeki dengan menjual sarapan pagi di kampung itu seperti sebelum ini.
“Saya sepatutnya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Sultan Ismail (HSI), namun tidak berbuat demikian lebih dua bulan kerana tidak mempunyai kenderaan dan wang mencukupi.
“Nak dapat duit pun tak mampu, inikan pula membayar sewa rumah RM700 sebulan. Ada masanya makan cuma sehari sekali berlaukkan sebiji telur goreng yang dibahagi empat.
“Dahulu saya malu nak meminta tolong dengan orang, sekarang saya sudah tidak mampu bertahan dan tidak larat lagi nak tanggung derita,” katanya yang turut menderita pendarahan dalam kepala setelah terlibat kemalangan jalan raya pada 2018.
Dia juga tidak pernah membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan sara hidup dengan mana-mana jabatan atau agensi kerajaan sehingga kini, tetapi menaruh harapan agar dapat menyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang menawarkan sewa bulanan yang sangat rendah untuk tidak membebankan anak-anaknya.
Sementara itu, nasib menimpa keluarga itu mendapat perhatian Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash And Carry, Mas Imran Adam yang menyumbangkan barangan keperluan harian buat wanita itu antaranya tilam, susu formula, lampin pakai buang dan keperluan dapur.
Bagi yang mahu menghulurkan bantuan kepada keluarga Maimun boleh hubunginya di talian 013-837 9464 atau boleh menyumbang di akaun Bank Simpanan Nasional miliknya bernombor 0114229000094796. – UTUSAN










