JOHOR BAHRU: Beberapa individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian pencemaran Sungai Sengkang, dekat sini akibat pembuangan sisa kimia sudah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Dr. Famey Yusof berkata, pegawai penyiasat jabatan itu memanggil individu-individu berkenaan untuk diambil keterangan pagi semalam.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak dapat memperincikan hasil dapatan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan yang sedang dijalankan.
“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan pihak yang terlibat dan tidak dapat mendedahkannya kerana boleh mengganggu siasatan.
“Apa yang boleh dikongsikan kita telah merakamkan keterangan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya di sini hari ini.
Tumpahan bahan kimia berpunca daripada sebuah stor penyimpanan haram di Kampung Baru Sengkang, Kulai itu telah dapat dibendung pada peringkat awal susulan laporan diterima dari penduduk setempat, Sabtu lalu.
Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, kejadian bahan kimia yang memasuki Sungai Sengkang dan Sungai Skudai sehingga menyebabkan berlakunya pencemaran sungai semalam dipercayai dilakukan secara sengaja.
Ini berikutan hasil pemantauan mendapati tidak ada tangki intermediate bulk container (IBC) yang berjumlah 116 unit di lokasi itu pecah dan tumpahan bahan kimia itu berkemungkinan disebabkan telah dibuang dengan sengaja oleh individu tidak bertanggungjawab. – UTUSAN ONLINE










