fbpx

23 Mei 2022, 4:50 am

  TERKINI

Individu lengkap dua dos dapat kelonggaran tertentu – PM

MUHYDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan individu yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 akan mendapat ‘keistimewaan’ melalui beberapa kelonggaran tertentu yang boleh diberikan kepada mereka.

Perdana Menteri berkata, beliau meminta jawatankuasa pengurusan Covid-19 untuk menilai semula mereka yang lengkap divaksinasi itu diberi kelonggaran-kelonggaran sama ada dari segi perjalanan, pergi ke kedai atau makan di restoran.

Beliau berkata, ini merupakan petanda bagi menunjukkan bahawa sementara kerajaan menguruskan Covid-19, kehidupan rakyat sedikit demi sedikit akan kembali semula seperti di masa lalu.

“Ini merupakan inisiatif ke depan dan tempoh jangka masa ikut Pelan Pemulihan Negara (PPN) itu, hanya sehingga akhir tahun.

“Jadi bersabarlah, jangan kata kerajaan tak bagi tumpuan. Jangan sekali-kali percaya dengan kempen kerajaan gagal, (minta maaf saya tidak bercakap politik di sini) tapi yakin dengan kerjasama kita, pimpinan dalam kerajaan serta rakyat dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) kita boleh menang menghadapi peperangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan ke pusat penyimpanan dan agihan Bakul Prihatin Negara di Kompleks Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Putrajaya.

Muhyiddin berkata, program tersebut merupakan salah satu usaha yang akan diteruskan di samping langkah-langkah lain yang telah dilaksanakan untuk menguruskan masalah Covid-19.

Beliau berkata, usaha itu menunjukkan ada sedikit cahaya di hujung terowong kerana vaksinasi dengan angka terkini mencapai lebih 421,000 dos sehari dan jumlah pemberian itu akan terus bertahan dalam angka itu.

“Selain itu fokus kita adalah di kawasan Greater Klang Valley iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, bahagian selatan Perak dan utara Negeri Sembilan yang kita lihat kes masih tinggi.

“Saya percaya langkah-langkah tumpuan khusus di kawasan ini, maka kes Covid-19 dapat diurus baik,” katanya.

Perdana Menteri pada masa sama yakin proses vaksinasi berjalan agak baik dan mengikut jadual dan berharap dalam tempoh beberapa hari atau bulan akan datang, pembekalan vaksin akan meningkat dan bertambah.

Katanya, jadual yang diunjurkan dalam pelan PPN iaitu sebelum akhir tahun, sebahagian besar rakyat sudah mendapat suntikan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI