PETALING JAYA: Impact Malaysia sekali lagi melancarkan inisiatif #ImpactTolongHantar (ITH) edisi ketiga iaitu “#Impact TolongHantar Vaksin (ITH Vaksin)” untuk membantu menghantar kumpulan sasar khususnya golongan rentan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Ini menerusi tawaran bantuan pengangkutan dalam bentuk khidmat e-hailing iaitu Grab secara percuma atau bantuan tunai untuk kos pengangkutan peribadi untuk ke PPV menerusi program ITH Vaksin.
“Bantuan ini khas untuk golongan rentan dari kategori B40, Orang Asli, OKU dan warga emas.
“Selain itu, ITH Vaksin juga menawarkan khidmat sukarelawan Peneman untuk warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan khidmat ini secara percuma,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
ITH Vaksin telah bermula sejak 23 Jun lalu sehingga tamatnya program pemberian vaksin seperti yang akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan suatu masa nanti.
Permohonan boleh dibuat secara atas talian di pautan bit.ly/ithvaksin.
Di samping itu, ITH Vaksin kali ini dijalankan dengan kerjasama Impact Youth, iaitu sukarelawan Impact Malaysia yang dianggotai oleh sukarelawan muda berusia 18 hingga 35 tahun seluruh Malaysia.
Selain daripada menyelaras ITH Vaksin, sukarelawan Impact Youth juga membantu kumpulan sasar membuat pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi mySejahtera, menyelaras edaran bantuan set barangan asas untuk isi rumah yang memerlukan dan bekerjasama dengan komuniti untuk membantu golongan yang memerlukan.
Untuk maklumat lanjut mengenai ITH Vaksin, Impact Youth dan program-program kelolaan Impact Malaysia, sila layari www.impact.my dan ikuti laman media sosial Impact Malaysia, Facebook/Twitter @impactdotmy, atau Instagram @impactmsia. – UTUSAN ONLINE










