PETALING JAYA: Polis mengesan sebanyak 15 kereta dan sebuah motosikal didapati berkonvoi serta mengibarkan bendera hitam sebagai tanda menyertai himpunan #LAWAN untuk menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kerajaan di sekitar pusat bandar dekat sini hari ini.
Kehadiran kenderaan berkenaan yang bergerak dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar ke pusat bandar pukul 11.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemerhatian dilakukan pihaknya berjaya mengenal pasti semua nombor pendaftaran kenderaan yang terbabit dengan merakam video pergerakan konvoi berkenaan.
“Justeru kesemua mereka dikenakan kompaun serta merta di lokasi.
“Tindakan kompaun diambil kerana mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas kesalahan melebihi had jumlah penumpang dalam kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Mohamad Zainal berkata, semakan nombor kenderaan mendapati terdapat seorang lelaki yang pernah dikompaun sebelum ini kerana menyertai perhimpunan membawa jenazah di Dataran Merdeka, di sini minggu lalu.
“Pemiliknya adalah seorang lelaki berusia 30-an yang pernah dikompaun kerana menyertai perhimpunan di Dataran Merdeka, minggu lalu.
“Semua pihak yang terbabit dalam konvoi itu akan dipanggil dalam masa terdekat untuk siasatan lanjut kerana berkonvoi, berhimpun serta mengadakan aktiviti sosial dalam tempoh PKP,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, kes itu mengikut Peraturan 9 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.
“Kami difahamkan sebuah lagi perhimpunan yang akan diadakan di sekitar pusat bandar pada 31 Julai ini.
“Justeru saya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di daerah ini supaya melupakan hasrat itu kerana kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.










