PETALING JAYA : Syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih penerbangan (MRO), Global Systémes Asia Sdn. Bhd. (GSA) berhasrat menggandakan hasil pendapatan syarikat menjelang 2024 kepada RM12 juta dengan jumlah kontrak pelanggan bernilai RM19.7 juta.
Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd. Radzi berkata, syarikat itu mencapai kejayaan apabila meningkatkan tenaga kerja sebanyak 70 peratus dan fasiliti kemudahan penyelenggaraan 25 peratus selepas tempoh 30 hari menjalani proses penjenamaan.
Katanya, kejayaan itu hasil cetusan perolehan RUAG International dengan syarikat itu dijenamakan semula sebagai GCA sekali gus mempunyai strategi sangat jelas dengan tumpuan terhadap gabungan bersepadu dengan tenaga kerja sedia ada serta memastikan penawaran perkhidmatan di dalam kelangsungan perniagaan berjalan dengan lancar.
“Pemindahan kemahiran dan pengetahuan dari RUAG serta portfolio pelanggan sedia ada akan menjadi pemacu untuk GCA menawarkan portfolio perkhidmatan yang cukup menyeluruh dalam industri MRO.
“Kelancaran integrasi ini membolehkan kami beroperasi lebih awal daripada dijangkakan dan kini berada dalam kedudukan perniagaan yang kukuh untuk terus maju ke hadapan dan mengembangkan bahagian pasaran kami di Australia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nonee Ashirin menjelaskan faktor penyumbang kepada kejayaan GCA apabila mewarisi profail perniagaan yang mantap iaitu legasi dalam perniagaan domestik, serantau dan antarabangsa serta disokong oleh kemudahan operasi yang lengkap bertaraf dunia.
Katanya, ini termasuk perkakas dan tenaga kerja teknikal yang mendapat pengiktirafan prestasi penyampaian berkualiti tinggi serta pengekalan kelulusan peraturan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif GSA, Syahrul Amir Zaki berkata, langkah itu telah menjadikan GCA sebagai komponen MRO diiktiraf global terutama dalam peralatan starter-generator, sistem pencahayaan pesawat, helikopter dan turboprop serantau.
Beliau menambah GCA juga mempunyai kepakaran dipertingkatkan dalam spektrum alternator generator dan sistem pencahayaan sedia ada serta keupayaan dalam bidang produk baharu seperti penggerak hidraulik dan kawalan servo.
“Pasukan penyelidikan dan pembangunan kami juga sedang membangunkan portfolio berinovasi tinggi yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
“Kami berhasrat untuk menggandakan hasil pendapatan syarikat menjelang 2024 kepada RM12 juta dengan jumlah kontrak pelanggan bernilai 19.7 juta. Kami juga ingin membangunkan pasaran teras syarikat ini melalui perkembangan perniagaan sedia ada di negara-negara serantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE