Gerobok Rezeki JAIM guna kaedah pandu lalu - Utusan Malaysia

Gerobok Rezeki JAIM guna kaedah pandu lalu

CHE SUKRI CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan memperkenal kaedah pandu lalu bagi memudahkan penduduk menerima bantuan makanan melalui program Gerobok Rezeki yang disediakan di setiap masjid dan surau di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, kaedah tersebut dilihat lebih praktikal untuk mengelak masyarakat terpaksa beratur dan bersesak memandangkan negeri ini masih di bawah sekatan pergerakan penuh.

Menurutnya, cadangan tersebut adalah atas permintaan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

“Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan JAIM akan berbincang secara khusus sebelum pelaksanaan kaedah pandu lalu itu dibuat mengikut kesesuaian.

“Kaedah ini dilihat lebih mudah kerana orang ramai tidak perlu menunggu lama atau beratur panjang. Situasi pandemik Covid-19 di Melaka pula masih belum berkurangan dan ada beberapa tempat pula berada di zon merah,” katanya kepada Utusan Online.

Che Sukri menambah, orang ramai dibenarkan ke masjid untuk mengambil makanan, namun jawatankuasa masjid terlibat perlu mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlebih dahulu.

Di samping itu, jelasnya, pihak masjid juga mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

Katanya lagi, bagaimanapun, kaedah menghantar bantuan makanan terus ke rumah golongan yang memerlukan adalah lebih wajar dilakukan ketika ini. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN