Geng William terlibat curi kereta mewah tumpas - Utusan Malaysia

Geng William terlibat curi kereta mewah tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menahan enam ahli Geng William terlibat kegiatan mencuri kenderaan mewah dalam dua serbuan di sekitar Lembah Klang pada 25 dan 26 Julai lalu.

Kesemua suspek berusia antara 38 hingga 43 tahun itu dikesan dikesan menggunakan mesin ‘programmer’ untuk membuat kunci pendua kenderaan yang akan dicuri.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan di tepi Jalan Jinjang Utara dekat sini bersama dua kenderaan iaitu Mercedes S320 dan Toyota Estima yang dilaporkan hilang pada pukul 2 petang, Ahad lalu.

Katanya, penahanan itu membawa kepada satu lagi tangkapan tiga lagi lelaki termasuk seorang warga Nepal di sekitar Lembah Klang, pada Isnin lalu.

“Dalam serbuan itu,  beberapa telefon bimbit, satu mesin ‘programmer’ bagi membuat kunci kenderaan dan enam kenderaan mewah iaitu Toyota Camry, Peugeout, Volkswagen Jetta, Audi Q7, Toyota Fortuner serta Perodua Myvi turut dirampas.

“Pemeriksaan dilakukan mendapati dua daripada enam kenderaan berkenaan dilaporkan hilang di Seri Kembangan,” katanya di sini hari ini.

Anbalagan berkata,  keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai RM500,000.

Ujarnya, sindiket yang mula bergiat aktif sejak Jun lalu adalah dengan membuat rondaan di kawasan kondominium di sekitar daerah ini.

“Seorang pengawal keselamatan yang juga suspek dipercayai menjadi pemberi maklumat kepada sindiket berkenaan untuk mengenal pasti kenderaan mewah yang sudah lama diparkir di kawasan tempat kereta di kondominium terlibat.

“Sindiket ini dipercayai mengambil masa tiga hari untuk melakukan risikan, membuat kunci pendua serta mencuri kenderaan yang menjadi sasaran mereka untuk dijual pada harga rendah,” ujarnya.

Menurut Anbalagan, pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati dua daripada enam suspek berkenaan memiliki rekod berkaitan kes jenayah.

“Dengan tertangkapnya semua suspek berkenaan, kami berjaya menumpaskan Geng William yang dipercayai terbabit dengan tujuh kes curi kenderaan mewah di sekitar daerah ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati sekiranya ditawarkan kenderaan yang meragukan dan dijual pada harga murah dari harga pasaran,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN