Empat sekeluarga ditahan bersama heroin, syabu - Utusan Malaysia

Empat sekeluarga ditahan bersama heroin, syabu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI:  Empat sekeluarga disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan dalam dua tangkapan di Pinang Tunggal, di sini dan Padang Serai, Kulim dekat sini semalam..

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki berusia 32 tahun di sini.

Katanya, susulan tangkapan itu, polis menahan tiga lagi wanita terdiri daripada isteri, ibu mentua dan adik ipar suspek lelaki terbabit.

Menurutnya, ketiga-tiga wanita itu berusia antara 14 tahun hingga 48 tahun di rumah mereka di Taman Serai, Padang Serai.

“Hasil daripada tangkapan itu, kita merampas dadah dipercayai jenis heroin seberat 8.3 kilogram (kg) dan syabu seberat 12.5 gram yang dianggarkan bernilai hampir RM100,000,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, di sini hari ini..

Katanya, suspek lelaki itu yang merupakan seorang pembantu kedai runcit ditahan ketika berada di atas sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di tepi jalan berhampiran sebuah masjid di Pinang Tunggal, dekat sini kira-kira pukul 2 petang.

“Hasil pemeriksaan ke atas beg galas milik suspek menemukan 14 peket dadah jenis heroin seberat 6.362 kg,” ujarnya.

Menurutnya, satu lagi serbuan dibuat di rumah suspek di Taman Serai pada pukul 4.05 petang, hari yang sama dan menahan tiga lagi suspek perempuan.

“Dalam serbuan itu, sebuah beg pakaian mengandungi lima peket plastik disyaki dadah jenis heroin seberat 1.946 kg dan satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 12.5 gram, serta peralatan membungkus dadah dirampas.

“Siasatan lanjut mendapati suspek aktif mengedar dadah sejak kira-kira setahun lalu dan bekalan dadah dipercayai diperoleh di negeri ini dan bertujuan untuk diedarkan di kawasan sekitar,” jelasnya.

Kamarul Zaman berkata, kesemua suspek yang ditahan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif.

“Turut disita wang tunai berjumlah RM950, sebuah kereta jenis Proton Saga FL dan sebuah motosikal jenis Yamaha Ego dengan jumlah keseluruhan sitaan sebanyak RM25,450.

“Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN