DUN Selangor mula bersidang 23 Ogos - Utusan Malaysia

DUN Selangor mula bersidang 23 Ogos

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dijadual bersidang selama lapan hari bermula 23 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang memberitahu Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah pun memberi perkenan pembukaan sidang DUN pada 6 Julai lalu.

“Selaras dengan peruntukan yang termaktub di dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021. Sultan Sharafuddin juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2021.

“Dewan Negeri Selangor kemudian akan mula bersidang selama lapan hari,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini.

Katanya lagi, Sultan Sharafuddin turut berkenan berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor pada 23 Ogos ini.

“Sidang DUN kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukannya sekadar sidang khas.

“Sidang juga akan dijalankan dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada segala usaha kerajaan Selangor menangani penularan wabak Covid-19,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN