Dua pelan baharu pacu pengeluaran industri ruminan negara - Utusan Malaysia

Dua pelan baharu pacu pengeluaran industri ruminan negara

RONALD KIANDEE berucap merasmikan Simposium Ruminan 2021 dan pelancaran BIF PLAN 2021-2025 dan DAIRY PLAN 2021-2025 secara maya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yakin sasaran penambahan pengeluaran sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar tempatan dapat dicapai menjelang tahun 2025 menerusi Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025) yang dilancarkan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, pelan itu adalah manifestasi komitmen kerajaan untuk membangunkan industri pedaging dan tenusu melalui pendekatan sistem penternakan yang efisien, peningkatan kapasiti pengeluaran, pengekalan kos pengeluaran yang optimum serta memperkukuh pengurusan di sepanjang rantaian nilai.

Beliau berkata,  industri ruminan di negara ini dengan tahap sara diri (SSL) daging 22 peratus dan SSL susu segar 62 peratus masih mempunyai banyak ruang untuk dipertingkat memandangkan  ia adalah salah satu industri utama agromakanan negara dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2019 bernilai RM15 bilion.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penambahan pengeluaran ini dapat dicapai dalam tempoh lima tahun Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) bagi mencapai sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) bagi pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025.

“Ini adalah selaras dengan tumpuan MAFI di bawah RMKe-12 yang akan memberi penekanan kepada inisiatif untuk meningkatkan produktiviti, memperkasa sistem sokongan dan perkhidmatan serta memperkukuh rantaian nilai makanan ke arah meningkatkan daya tahan sistem makanan secara menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Ruminan 2021 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan pelancaran BIF PLAN 2021-2025 dan DAIRY PLAN 2021-2025 secara maya hari ini. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini