Dua lelaki ditahan halang tugas penjawat awam  - Utusan Malaysia

Dua lelaki ditahan halang tugas penjawat awam 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditahan polis kerana menghalang tugas penjawat awam dan mengugut anggota bertugas di tempat berasingan dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) daerah Kuala Muda, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang lelaki berumur 47 tahun di sekatan jalan raya (SJR) Taman Bandar Baru, Sungai Lalang di sini pukul 1.15 petang

“Lelaki terbabit yang tidak bekerja ditahan sebaik pulang membawa jirannya mendapatkan rawatan di Hospital Metro di sini  dan dimaklumkan tidak boleh keluar masuk tanpa tujuan di kawasan PKPD. 

“Bagaimana pun dia tetap bertegas untuk keluar masuk sesuka hati dan enggan menurut arahan sebelum menggugut untuk merempuh sekatan jalan raya di situ,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Adzli, dia yang memandu kereta Proton Saga BLM kemudiannya memecut laju dan cuba merempuh anggota polis bertugas serta melepasi sekatan sebelum berjaya ditahan di rumahnya di Taman Bandar Baru selepas itu.

Kata Adzli, semakan mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod tiga jenayah lampau dan pernah dihukum di bawah Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 serta pemegang kad Orang Kelainan Upaya (sakit mental).  

Kata Adzli, kes kedua membabitkan seorang pemandu bas kilang yang ditahan di SJR di hadapan kilang Sharp di Bakar Arang di sini pada pukul 1.35 petang.

“Lelaki berumur 44 tahun itu menunggang sebuah motosikal dari Taman Cahaya PKNK yang terletak di dalam kawasan PKPD dengan memberi alasan hendak mengambil barang berdekatan lampu isyarat di Bakar Arang.

“Suspek kemudian diarah berpatah balik namun dia bukan sahaja enggan mematuhi arahan sebaliknya mengeluarkan kata-kata kesat terhadaap anggota polis bertugas di situ menyebabkan dia ditahan,” ujarnya.

Kata Adzli, kedua-dua lelaki itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda dan ditahan untuk proses permohonan reman.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 506 kanun sama dan Peraturan 16(1) Pencegahan serta Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) Langkah-​Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (LLDKTJ) Pelan Pemulihan Negara 2021. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN