Dua anggota polis ditahan 'pau' RM200 - Utusan Malaysia

Dua anggota polis ditahan ‘pau’ RM200

MOHAMAD FAKHRUDIN ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel memeras ugut dan meminta suapan berjumlah RM200 daripada sekumpulan pekerja penyelenggaraan lampu jalan membawa padah apabila mereka ditahan hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam semalam, kenderaan dinaiki mangsa dan rakan sekerjanya ditahan oleh sebuah kereta peronda polis semasa dalam perjalanan ke tempat kerja.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, anggota polis berkenaan kemudian bertindak memeras ugut mangsa dengan memberitahu mereka kononnya telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dengan menaiki kenderaan melebihi had ditetapkan.

Menurut beliau, anggota polis itu turut memberitahu mangsa bahawa kesemua mereka boleh dikompaun sebanyak RM2,000 atas kesalahan berkenaan.

“Kemudian anggota polis tersebut seterusnya meminta mangsa memberikannya wang sebanyak RM200.

“Berang dengan kejadian itu, majikan kepada pekerja penyelenggaraan terbabit menularkan kejadian tersebut menerusi Twitter miliknya sebelum mangsa membuat laporan polis sekitar pukul 1 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohamad Fakhrudin, kedua-dua anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Petaling Jaya sekitar pukul 2.45 pagi tadi.

Pada masa sama, kata beliau, wang suapan RM200 disyaki hasil pemerasan ke atas pengadu turut dirampas.

“Kedua-dua anggota itu kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut.

“Ingin ditegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi terhadap salah laku anggota dan pegawai serta meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan perbuatan itu untuk segera membuat laporan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN