Doktor kontrak sedia pasukan guaman  - Utusan Malaysia

Doktor kontrak sedia pasukan guaman 

KERATAN akhbar Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor bersedia dengan pasukan guaman jika ada dalam kalangan mereka dikenakan tindakan disiplin. 

Jurucakapnya, Dr. Mustapha Kamal A. Aziz berkata, pasukan kecil itu sebagai persediaan untuk mengambil langkah perundangan yang sewajarnya ekoran penglibatan mereka dalam mogok yang dijadualkan pada 26 Julai ini. 

Malah, gerakan itu tidak akan berganjak daripada desakan yang dihantar kepada kerajaan hari ini untuk kira-kira 23,000 doktor kontrak yang direkrut sejak 2016 diberi jawatan tetap. 

“Ya, kami ada pasukan kecil jika ada yang dikenakan tindakan disiplin,” katanya dalam sidang akhbar melalui aplikasi Zoom di sini, hari ini. 

Selepas menamatkan kontrak lima tahun, Mustapha memberi peringatan yang hospital kerajaan berdepan risiko kekurangan pakar dengan bilangan terhad pegawai perubatan kontrak yang diambil bekerja dan ditawarkan biasiswa untuk menyambung pengajian. 

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba meminta doktor kontrak bersabar sementara isu dihadapi mereka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam waktu terdekat. 

Utusan Malaysia hari ini melaporkan, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mencadangkan satu suruhanjaya perkhidmatan perubatan dan kesihatan perlu diwujudkan supaya perjawatan petugas kesihatan lebih meluas dengan pengambilan mereka tidak lagi di bawah SPA dan JPA. 

Akhbar ini baru-baru ini membangkitkan persoalan tentang pihak bertanggungjawab melantik dan menyerap pegawai perubatan kontrak ke status tetap selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Kementerian Kesihatan menuding jari antara satu sama lain. 

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak mewakili 23,000 kalangan perjawatan itu memberi kata dua kepada kerajaan untuk melakukan hartal atau mogok pada 26 Julai ini jika masih tiada jalan penyelesaian isu pelantikan tetap mereka. 

Sejak 2016, seramai 789 atau 3.4 peratus pegawai dilantik secara tetap manakala lebihnya berkhidmat secara kontrak. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN