Dilarang masuk! Tegas Jabatan Hutan kepada pekebun haram musang king  - Utusan Malaysia

Dilarang masuk! Tegas Jabatan Hutan kepada pekebun haram musang king 

DURIAN musang king yang ditanam di Hutan Simpan Kekal Batu Talam selesai ditebang dalam masa sembilan hari Operasi Pamah di Raub, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) tidak membenarkan pekebun haram durian musang king memasuki Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub, dekat sini untuk mengambil barangan milik mereka. 

JPNP dalam kenyataannya memaklumkan, keputusan itu dibuat setelah mendapat nasihat dan pandangan dari Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Timbalan Pendakwa Raya. 

“Tindakan ini (pekebun masuk ke HSK Batu Talam) boleh mengganggu siasatan yang kini sedang giat dilengkapkan sepenuhnya untuk tujuan pendakwaan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya malam tadi meminta Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon mendapatkan sendiri kebenaran daripada JPNP jika pekebun haram durian musang king di HSK Batu Talam mahu memasuki kawasan operasi penguatkuasaan untuk mendapatkan semula barangan milik mereka di situ. 

Wan Rosdy berkata, beliau menerima kunjungan hormat Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhamad di pejabatnya di Wisma Sri Pahang di sini petang semalam yang turut disertai Sin Woon.

Dalam kunjungan hormat itu, perkara tentang penguatkuasaan dalam HSK Batu Talam khususnya membabitkan kawasan seluas 101.17 hektat meliputi kebun haram durian musang king, telah dibangkitkan.

Susulan itu, Wan Rosdy menyatakan ketegasan secara konsisten oleh kerajaan negeri dalam kerja-kerja penguatkuasaan yang dilakukan tanpa mengira kaum mahu pun kawasan atau daerah ia berlaku ke atas pencerobohan tanah secara haram di negeri tersebut.

Kira-kira 15,000 pokok durian musang king yang ditanam di kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari Operasi Pamah sejak 3 Julai lalu.

Pada masa ini, JPNP telah memulakan aktiviti menanam pokok hutan yang dianggarkan berjumlah 20,000 pokok bagi menggantikan durian musang king. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya