PETALING JAYA: Selepas ditangguhkan beberapa kali hari ini, Sidang Khas Dewan Rakyat dijangka bersidang semula Isnin ini.
Penangguhan tersebut dibuat selepas terdapat dua lagi kes positif Covid-19 baharu yang dikesan hasil ujian saringan RTK Ag Saliva di Parlimen.
Perkara tersebut dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan hari ini.
“Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 12 (2), Saya menempohkan mesyuarat ini sehingga pukul 5.30 petang dan seterusnya Mesyuarat Dewan hari ini ditangguhkan sehingga pukul 10 pagi Isnin 2 Ogos,” katanya.
Sebelum itu, sidang ditangguhkan hingga ke pukul 3.30 petang dan 5.15 petang susulan arahan baharu supaya semua yang berada di Parlimen menjalani ujian saringan Covid-19. – UTUSAN ONLINE