GEORGETOWN: Kira-kira 150 gelandangan di sekitar pusat bandar ini termasuk di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini, sanggup berpanas dan beratur panjang semata-mata mahu mendapatkan bungkusan nasi beriani kambing percuma hari ini.
Mereka yang merupakan gelandangan pelbagai kaum dan usia itu masing-masing tidak mahu melepaskan peluang menikmati hidangan istimewa yang diagihkan Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamilm, di sini.
Ahli Jawatankuasanya, Jamil Kader Gani berkata, gelandangan terbabit antara 1,500 individu termasuk petugas barisan hadapan, pelajar tahfiz, warga emas dan anak yatim yang menerima bungkusan nasi beriani kambing menerusi penganjuran tahunan program ibadah korban dianjurkan pihaknya.
Menurutnya, persiapan menyediakan masakan tersebut mengambil masa selama empat jam sebelum diagihkan kira-kira pukul 12 tengah hari ini.
“Memandangkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi ibadah korban tahun ini, aktiviti penyembelihan hanya dilakukan di pusat penyembelihan ternakan di Kulim, Kedah.
“Sebanyak 12 ekor kambing ditumbangkan semalam dan dimasak dalam hidangan nasi beriani untuk diagihkan kepada petugas barisan hadapan serta golongan yang memerlukan bantuan.
“Perkara paling menyentuh hati apabila melihat kesanggupan golongan gelandangan termasuk orang awam yang beratur panjang semata-mata mahu mengambil bungkusan makanan itu,” katanya kepada Utusan Online di sini, hari ini.
Yang hadir sama ialah Presiden Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Asri Seeni Mohamed.
Beliau memberitahu, penganjuran itu bertujuan meraikan golongan memerlukan sekali gus menzahirkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang sanggup berkorban demi mengekang penularan wabak Covid-19. – UTUSAN ONLINE










