Darurat hanya boleh dibatal selepas dibentang di Dewan Rakyat, Negara - Utusan Malaysia

Darurat hanya boleh dibatal selepas dibentang di Dewan Rakyat, Negara

WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Suatu proklamasi darurat dan ordinan darurat hanya boleh dibatalkan selepas dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Bercakap kepada Utusan Online, pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, syarat tersebut terkandung dalam Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan cukup apabila proklamasi darurat dan ordinan dimasukkan di dalam agenda mesyuarat dan diletakkan di atas meja ahli-ahli Parlimen, tidak perlu dibahaskan.

Menurutnya, pembatalan proklamasi dan ordinan selepas sempurna syarat pembentangan juga boleh berlaku dalam dua keadaan iaitu pertama apabila dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong atau diusulkan sama ada oleh ahli kerajaan atau bukan kerajaan.

Katanya, maka, ia akan terbatal melalui ‘resolution’ majlis Parlimen, iaitu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada tarikh yang ditetapkan.

“Dalam sidang hari ini, agenda pembentangan ordinan darurat tidak diteruskan kerana menurut kenyataan yang diberi dalam Parlimen, telah terlebih dahulu dibatalkan oleh jemaah Menteri.

“Ada beberapa isu di sini iaitu pertama, jemaah Menteri tiada kuasa untuk membatalkan ordinan darurat kerana penggubalan ordinan itu di bawah kuasa perundangan, dan dalam kes ordinan darurat, kuasa itu ialah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

“Kedua, Yang di-Pertuan Agong mempunyai prerogatif untuk membatalkannya selepas ordinan itu dibentang di kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dan ketiga prosedur yang betul di bawah Perkara 150(3) perlu dipatuhi, justeru ordinan itu masih sah, sehinggalah dibatalkan mengikut kaedah-kaedahnya,” katanya.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mendakwa pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hasan bahawa kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebagai satu penghinaan kepada institusi beraja.

Selain menyifatkan tindakan itu boleh mencetuskan krisis pelembagaan, Anwar berkata, kerajaan dan Perdana Menteri seharusnya terlebih awal menyembah maklum dan memohon perkenan Seri Paduka berhubung perkara demikian.

Terdahulu, Takiyuddin memakklumkan kerajaan telah memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.

Kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu,  perkara tersebut telah diputuskan pada 21 Julai lalu.

Sementara itu,  Wan Ahmad Fauzi berkata, Perdana Menteri boleh memaklumkan kepada Yang di-Pertua Dewan untuk memasukkan semula pembentangan ordinan darurat  di dalam agenda mesyuarat dalam persidangan ini.

“Sememangnya pembentangan ordinan itu sudah ditetapkan dalam sidang mesyuarat khas ini, justeru, tarikhnya boleh ditetapkan semula dalam persidangan ini,” katanya merangkap Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) Universiti Malaysia Pahang (UMP). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN