PUTRAJAYA: Tiada janji temu berkaitan vaksin Covid-19 akan diberikan kepada remaja berusia 17 tahun ke bawah termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) biarpun masa ini pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi MySejahtera.
Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dalam satu kenyataan memaklumkan, buat masa ini kerajaan bersetuju untuk tidak memberikan vaksin Covid-19 kepada golongan itu bagi mengelakkan sebarang risiko kes myocarditis dan pericarditis (radang jantung) susulan kejadian remaja mengambil dos kedua suntikan seperti kajian di Amerika Syarikat.
Namun katanya, bagi pelajar tahun peperiksaan yang telah mencapai usia 18 tahun contohnya calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) termasuk yang akan memasuki usia 18 tahun pada tahun ini, vaksinasi Covid-19 akan diteruskan mengikut penjadualan dan janji temu yang telah ditetapkan.
“Pendaftaran bagi remaja bawah 17 tahun sememangnya sudah diterima oleh sistem MySejahtera tetapi tiada janji temu diberikan kepada kumpulan umur berkenaan buat masa sekarang.
“Sistem MySejahtera akan terus menerima pendaftaran vaksinasi untuk golongan remaja supaya ia boleh digunakan pada masa depan apabila sebarang keputusan dibuat berkenaan hal ini,” katanya hari ini.
Kenyataan itu menyebut, keutamaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah kepada usaha untuk melengkapkan Fasa 2 dan memantapkan pelaksanaan Fasa 3 di seluruh negara termasuk Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang, berikutan peningkatan kes harian di kawasan pusat penularan pandemik itu. – UTUSAN ONLINE







