Cubaan A. Kadir Jasin lagakan UMNO-Bersatu tindakan tidak bertanggungjawab - Utusan Malaysia

Cubaan A. Kadir Jasin lagakan UMNO-Bersatu tindakan tidak bertanggungjawab

NAJIB Tun Razak dan Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri hari ini bagi membincangkan isu yang menyentuh hal serta dasar negara. - IG ARMAND AZHA ABU HANIFAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ulasan Datuk A. Kadir Jasin tentang UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) disifatkan tindakan tidak bertanggungjawab.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, alasan beliau yang menyatakan UMNO kembali berkuasa secara de facto hanya kerana Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah sangat lemah dan hanya menampakkan keterdesakan bekas penasihat media kepada perdana menteri itu yang rapat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, sebagai orang lama, A. Kadir begitu terdesak hingga menampakkan kelemahan sendiri apabila mengatakan Najib melawat Ismail Sabri bagi membincangkan isu berkaitan hala tuju dan dasar negara adalah petunjuk bahawa UMNO sudah menguasai kerajaan.

“Begitu juga tindakan tidak berasas A. Kadir menyifatkan penyerahan sebuah memorandum berjudul ‘Tuntutan Rakyat’ oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki kepada Ismail Sabri iaitu tidak kepada Perdana Menteri sebagai pengiktirafan UMNO bahawa Ismail Sabri adalah Ketua Kerajaan de facto.

“Tuduhan Kadir bahawa secara de facto “Umno is back in power” dan jalan ke Sungai Buloh mungkin nampak semakin pudar dan harapan bebas semakin cerah bagi para anggota kluster mahkamah UMNO juga adalah jauh menyimpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, perbandingan situasi sekarang dengan zaman 1997-1998 apabila para penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim mula melayan beliau sebagai Perdana Menteri de facto sehingga membelakangkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad, juga tidak logik.

Katanya, adalah menjadi lumrah kepada para pemimpin sesebuah parti untuk membuat kunjungan hormat kepada pemimpin parti mereka yang lain yang baharu mendapat lantikan jawatan tinggi di samping mengemukakan pengharapan mereka kepada beliau.

Kenyataan A. Kadir itu, katanya, seperti mahu melaga-lagakan antara Ismail Sabri dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sedangkan Ismail Sabri dan rakan-rakan UMNO yang bergelar Menteri sudah beberapa kali melafazkan sumpah taat setia kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri.

“Saya melihat apa yang dilakukan pemimpin UMNO yang mengunjungi Ismail Sabri ini sebagai langsung tidak membimbangkan kerana ia sebenarnya adalah perkara baik yang mana pemimpin UMNO sudah mempunyai saluran untuk menyampaikan sesuatu.

“Untuk menyatakan bahawa Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mampu melaksanakan segala kehendak dan tuntutan para pemimpin UMNO lain adalah satu perkara yang tidak realistik dan menunjukkan A. Kadir seolah-olah berada di alam khayalan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, A. Kadir mesti tahu bahawa walau apapun yang diserahkan kepada Ismail Sabri, pada akhirnya akan dibawa kepada pertimbangan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibincang dan diputuskan secara bersama.

Sesi-sesi kunjungan ini, jelasnya, pasti meredakan suasana huru-hara dalam perjalanan kerajaan yang berlaku sebelum ini apabila pemimpin UMNO menyuarakan secara terbuka pandangan dan kritikan mereka terhadap keputusan dan tindakan kerajaan.

“Adalah menjadi satu penghinaan untuk mengandaikan bahawa Ismail Sabri akan mencampuri urusan mahkamah supaya melepaskan bebas para anggota kluster mahkamah UMNO sedangkan beliau adalah seorang yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang undang-undang,” katanya.

Sebelum ini tersebar gambar kunjungan hormat Najib ke atas Ismail Sabri yang baru dilantik Timbalan Perdana Menteri sehingga mengundang persoalan A. Kadir melalui tulisannya dengan menyatakan dengan pelantikan Ismail Sabri itu, kini pemimpin UMNO yang berkuasa pada zaman sebelum kejatuhan BN kembali berkumpul dan berkuasa.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya