JOHOR BAHRU: Kerajaan perlu menyediakan satu kaedah bagi membenarkan rakyat Malaysia yang mendapat suntikan vaksin Covid-19 di luar negara untuk mengemas kini perkara itu dalam aplikasi MySejahtera mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, langkah itu membolehkan golongan berkenaan dibekalkan dengan sijil vaksinasi digital.
Menurutnya, fungsi mengemas kini rekod vaksin ini harus disediakan untuk semua rakyat Malaysia yang telah divaksin di mana-mana negara.
“Ini kerana vaksin yang diterima mereka adalah tersenarai dalam Senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Selain membolehkan mereka menikmati kelebihan yang bakal diumumkan pada masa datang, rekod yang dikemaskini juga dapat memberi gambaran betul bilangan sebenar rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.