Bimbang kluster, penduduk halang warga asing menyewa - Utusan Malaysia

Bimbang kluster, penduduk halang warga asing menyewa

DUA buah bas yang dipercayai membawa 37 pekerja warga asing ke Taman Muzzafar Height Fasa 1, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasrat 37 pekerja warga asing untuk menyewa sebuah rumah dua tingkat di Taman Muzaffar Height Fasa 1, Ayer Keroh di sini tidak menjadi kenyataan, petang semalam.

Pekerja yang dipercayai datang dari Selangor dengan menaiki dua buah bas dan sebuah lori dihalang penduduk di situ, walaupun ketika itu 16 daripada mereka sudah memasuki rumah berkenaan.

Pengerusi persatuan penduduk taman tersebut, Jaapar Saop, 75, berkata, kira-kira 500 penduduk membantah kerana risau golongan itu membawa virus Covid-19 memandangkan mereka antara penyumbang terbesar kluster.

Lebih merisaukan penduduk, katanya, kesemua mereka datang dari Selangor yang sehingga kini masih mencatat kes harian tertinggi.

Ujarnya, pihaknya turut mempersoal bagaimana rumah dua tingkat yang mempunyai empat bilik itu boleh memuatkan seramai 37 orang dalam satu-satu masa.

 “Ini sebenarnya merisaukan seluruh penduduk di taman ini. Lagi pula mereka datang pula tidak membawa sebarang surat pengesahan telah menjalani ujian saringan Covid-19.

“Keadaan di sini pula mencemaskan apabila seramai 51 daripada 79 pekerja warga asing di sebuah kilang berhampiran baru-baru ini telah disahkan positif Covid-19 hingga mewujudkan Kluster Jalan Seri Raya.

“Situasi yang ada belum reda, tiba-tiba datang dua bas bawa 37 pekerja cakap nak menyewa sebuah rumah di sini. Sudah tentu kami seluruh penduduk bantah sekeras-kerasnya,” katanya kepada Utusan Online.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, usaha majikan sebuah kilang di Ayer Keroh yang cuba memindahkan pekerja warga asing ke sebuah pangsapuri di Taman Bunga Raya, Bukit Beruang berjaya dihalang oleh pihak polis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Ayer Keroh.

Hampir semua pekerja itu kelihatan sedang beratur menunggu bas untuk dipindahkan.

Dalam pada itu, Jaapar menambah, persatuan penduduk telah menghubungi pihak polis yang kemudiannya datang membantu meredakan keadaan.

“Setelah berunding hampir sejam dengan ejen yang membawa pekerja itu, akhirnya ejen tersebut akur dan mengarahkan dua bas serta sebuah lori keluar meninggalkan taman tersebut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN