KOTA BHARU: Orang ramai beratur panjang lebih 200 meter di kaki lima bangunan untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan namun, kekal patuh prosedur operasi standard (SOP) termasuk mengamalkan penjarakan fizikal.
Demikian suasana di Jalan Tok Hakim, di sini sejak seminggu lalu sehingga video memaparkan orang ramai berbaris panjang tular dalam media sosial dengan rata-rata warganet memuji inisiatif penganjur dan disiplin para penerima.
Bagaimanapun, ramai tertanya-tanya siapa penganjur program agihan bekalan makanan khusus untuk penduduk yang terjejas akibat pandemik dan pelaksanaan sekatan penuh pergerakan atau total lockdown itu yang dikatakan bermula sejak Selasa lalu.
Bercakap kepada Utusan Online, Pengerusi Perhubungan MCA Kelantan, Chua Hock Kuan berkata, program itu digerakkan pihaknya bagi membantu sesiapa sahaja yang terjejas akibat total lockdown tanpa mengira latar belakang, warna kulit, agama atau parti politik mereka.
“Sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk berpolitik sebab itu kita buat secara diam-diam, termasuk tidak menaikkan bendera parti sehingga ramai yang tidak mengetahui bahawa program ini anjuran MCA Kelantan.
“Malah kita tidak menaikkan sekeping pun logo MCA kerana beranggapan mereka yang berlainan fahaman politik mungkin akan segan untuk datang, walaupun mereka memerlukan bantuan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, Ketua Sekretariat ‘1Kelantan Foodbank’, Yeap Keng Hwa yang juga Ketua Penerangan MCA Kelantan berkata, program itu digerakkan dengan kerjasama Persatuan Penganut Agama Buddha Kadhampa yang meminjamkan dewannya sebagai lokasi agihan.
“Sehingga semalam, jumlah penerima melebihi 800 keluarga dan kita masih lagi mengagihkan bantuan mengikut bekalan yang disumbangkan oleh pelbagai pihak yang prihatin.
“Saya amat terharu apabila ramai kenalan menyalurkan bantuan makanan menjadikan program ini amat berjaya. Saya percaya dalam rezeki kita juga terkandung rezeki orang lain tidak kira apa kaum sekalipun, yang penting ia sampai kepada rakyat,” katanya.
Tambah beliau, jika ada warga emas tinggal berseorangan tidak mampu hadir, kumpulan sukarelawan digelar ‘Rakan Chua Hock Kuan’ akan berusaha menghantar bahan keperluan makanan tersebut ke rumah mereka.
“Antara yang diagihkan adalah barang kering seperti beras, gula, sardin, minyak masak, telur dan bihun, tetapi dalam masa terdekat ini, ada peniaga makanan laut yang sudi menderma barang basah seperti ikan dan makanan laut lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE










