Bekas pekerja Pos Rider Melaka ambil tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

Bekas pekerja Pos Rider Melaka ambil tindakan undang-undang

CASSEL Krishnan (dari kiri), Muhamad Danish Zainudin, Abdul Malek Hussin dan Cassian Anthony ketika sidang akhbar nasib bekas pekerja Pos Rider di Pejabat DAP Melaka, Klebang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas pekerja Pos Rider di negeri ini sedang menilai pilihan undang-undang yang ada bagi menuntut keadilan kerana ditamatkan kontrak perkhidmatan secara mengejut oleh Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hujung bulan lalu.

Ketua Biro Guaman Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Melaka, Cassian Anthony berkata, hanya 16 daripada 23 bekas pekerja mahu mengambil tindakan susulan bagi mendapatkan pampasan sewajarnya, berikutan notis penamatan diberi dalam tempoh singkat.

Jelas beliau, pihaknya sedang mengumpul beberapa dokumen dan kemudiannya akan memfailkannya kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri.

“Tindakan selanjutnya akan dimaklumkan pegawai yang terlibat. Urusan penyerahan dokumen dijangka selesai minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat DAP Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Pemuda DAP Melaka, Muhamad Danish Zainudin; Bendahari Pemuda DAP Melaka, Cassel Krishnan dan wakil bekas pekerja Pos Rider, Abdul Malek Hussin.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seramai 23 pekerja Pos Rider meluahkan rasa kecewa dengan tindakan syarikat kurier itu membuang pekerja dalam tempoh kritikal, malah, gagal memberikan notis pemberhentian perkhidmatan selama 14 hari seperti ditetapkan dalam kontrak.

Sementara itu, Muhamad Danish menyuarakan kebimbangan sekiranya ada syarikat-syarikat lain yang bertindak seperti Pos Malaysia membuang pekerja pada era pandemik sebegini.

Jelasnya, ditambah pula ekonomi terjejas teruk serta ketidakstabilan politik yang tidak berkesudahan, ia cukup menjejaskan kehidupan orang ramai.

“Kali ini berlaku di Pos Malaysia, tetapi lepas ini siapa tahu mungkin ada syarikat lain akan buat perkara yang sama. Ia seperti mengambil kesempatan dan tidak berlaku adil kepada pihak lain.

“Bayangkan jika pekerja-pekerja ini merupakan penyumbang nafkah tunggal dalam keluarga, apa akan jadi? Rakyat hanya mahu kebajikan mereka terbela dan setidak-tidaknya ada timbang rasa daripada majikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN