Bantuan Prihatin ICFL untuk golongan memerlukan - Utusan Malaysia

Bantuan Prihatin ICFL untuk golongan memerlukan

TUNKU Nur Muhammad Tunku Adnan (dua dari kanan) menyerahkan kotak makanan ICFL Prihatin kepada penerima sambil disaksikan Kamil Mohktar (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menyedari pandemik Covid-19 yang melanda negara dan memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat, Inter Club Football League (ICFL) tidak terkecuali tampil membantu mereka yang memerlukan bantuan. 

Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar berkata, golongan sasar yang dibantu oleh ICFL kali ini adalah keluarga-keluarga para pemain bola sepak yang pernah bermain dan bernaung di bawah Liga Super ICFL. 

“Melalui program ICFL Prihatin, sebanyak 32 keluarga dibantu dan mereka hari ini telah menerima bantuan bakul makanan berupa pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak, susu dan banyak lagi. 

“Sumbangan ini merupakan inisiatif ICFL sendiri yang terpanggil untuk membantu, tidak terhad kepada keluarga pemain sahaja kerana kami turut memberikan sumbangan kepada keluarga lain yang berdepan kesulitan,” katanya.

ICFL merupakan satu platform terbaik dalam industri bola sepak negara dan mempunyai satu matlamat kepada para pemain muda bawah 14 tahun khususnya agar dapat menyarung jersi kebangsaan suatu hari nanti.

KAMIL MOHKTAR

Menurut Kamil, pihaknya berharap bantuan yang disampaikan itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan sekaligus memberikan kecerian kepada mereka untuk hari yang mendatang.

Beliau berkata, ICFL juga turut mempelawa mana-mana individu, badan korporat atau pertubuhan bukan kerajaan untuk bekerjasama dalam menyampaikan segala bantuan kepada golongan yang memerlukan. 

“Pada kali ini kami di peringkat ICFL hanya dapat menyampaikan bantuan berupa kotak makanan dan tidak mustahil melalui kerjasama pelbagai pihak bentuk sumbangan dapat dipertingkatkan lagi pada masa akan datang.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada Penaung ICFL yang baharu dilantik, Tunku Nur Muhammad Tunku Adnan dan Timbalan Presiden ICFL, Datuk Seri Mohd Rossahizam Mat Sakim kerana telah memberiman sokongan menjayakan program bantuan ICFL Prihatin ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN