'Balik ziarah bapa meninggal dunia, kena tikam pula dengan jiran' - Utusan Malaysia

‘Balik ziarah bapa meninggal dunia, kena tikam pula dengan jiran’

MANGSA yang cedera ditikam menggunakan pisau terbaring kesakitan ketika cuba meleraikan pergaduhan antara jiran di Permas Jaya, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pemuzik yang tinggal di Kuala Lumpur dan pulang ke sini untuk menziarahi bapanya yang meninggal dunia kelmarin cedera ditikam ketika cuba meleraikan pergaduhan antara jirannya.

Niat baik mangsa itu bertukar tragedi apabila dia ditikam di bahagian perut dalam kejadian yang berlaku di Permas Jaya, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 1.15 petang itu, mangsa, Ahmad Nadzir Sabtu, 50, cedera pada bahagian perut setelah ditikam suspek yang merupakan jiran bersebelahan dengan rumah adiknya, Farahzila, 42.

Difahamkan, mangsa yang merupakan seorang pemuzik yang tinggal di Kuala Lumpur pulang ke Johor Bahru setelah kematian bapanya, kelmarin.

Menurut Farahzila, pergaduhan antara kedua-dua jiran mereka tercetus apabila suspek tidak berpuas hati dengan jiran yang berbuat bising ketika sedang memasak juadah Hari Raya Aidiladha.

“Suspek memulakan pergaduhan apabila mengacau jiran yang sedang memasak di belakang rumah kerana mendakwa berbuat bising.

“Pada awalnya, abang cuma hendak meleraikan pergaduhan di antara mereka kerana rumah saya terletak di antara rumah mereka. Namun apa yang berlaku abang saya menjadi mangsa ditikam suspek,” katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Johor Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain mengesahkan kejadian tersebut berlaku.

Dalam kejadian itu, suspek seorang lelaki berusia 40-an telah mencederakan mangsa dengan menikamnya menggunakan sebilah pisau di bahagian perut.

“Pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek pada hari yang sama pada pukul 2.45 petang di sekitar kawasan kejadian.

“Suspek telah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi.

Mohd. Padzli memberitahu, mangsa masih ditahan di hospital untuk rawatan dan doktor mengesahkan mangsa berada dalam keadaan stabil.

Katanya, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya