Armada Bersatu saran semua parti politik sertai Misi 100 jam Khidmat Sukarela - Utusan Malaysia

Armada Bersatu saran semua parti politik sertai Misi 100 jam Khidmat Sukarela

WAN AHMAD FAYHSAL Wan Ahmad Kamal (dua dari kiri) ketika meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyarankan semua parti politik terutama pergerakan pemuda bekerjasama menawarkan khidmat sukarelawan percuma kepada masyarakat menerusi ‘Misi 100 jam Khidmat Sukarela’.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pihaknya telah menggerakkan misi berkenaan untuk membantu petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara dan memerlukan lebih banyak tenaga sukarelawan membantu kerajaan mempercepat proses pemberian vaksin Covid-19.

Tambahnya, penyertaan sukarelawan dalam kalangan ahli politik yang sentiasa bersama rakyat memudahkan penyaluran bantuan kepada masyarakat berkaitan dengan proses pendaftaran dan penerimaan vaksin.

“Saya ingin menyeru parti politik seperti Pemuda UMNO dan DAP untuk bantu, ini misi yang melangkaui parti politik, jika lebih banyak yang bantu lebih mudah untuk kita capai imuniti kelompok.

“Perlu ada sukarelawan orang politik kerana mereka berada dalam kalangan akar umbi, mereka bersama dengan masyarakat setiap hari, mereka perlu tahu siapa yang sudah divaksin dan tidak,” katanya selepas melawat PPV Spice Arena, Bayan Baru di sini hari ini.

Pada Jun lalu, Armada mengaktifkan ‘Misi 100 jam Khidmat Sukarela’ untuk membantu petugas di PPV di seluruh negara bagi memastikan kelancaran proses pemberian vaksin kepada orang ramai.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan berkata, pada masa ini jumlah mereka yang tidak hadir janji temu masing-masing juga masih tinggi termasuk di Kuala Lumpur.

“Kalau tidak ada orang ketuk pintu, yang tolong periksa MySejahtera dan tolong daftar untuk mendapatkan vaksin, usaha kerajaan untuk capai imuniti kelompok akan menjadi lebih lambat dicapai.

“Jadi mana-mana pihak termasuk ahli parti politik perlu bekerjasama menjalankan tugas sukarelawan kerana petugas kesihatan pada masa ini masih tidak mencukupi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat 30 Jun lalu, seramai 105,743 individu mendaftar untuk menyertai inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di seluruh negara sejak dibuka ketika pemberian vaksin fasa pertama Mac lalu.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, seramai 5,302 sukarelawan MyVac sudah ditempatkan di PPV yang beroperasi manakala 9,819 sedang dalam keadaan bersiap sedia untuk ditempatkan di PPV yang ditetapkan nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya