PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen Kerajaan mempertikaikan fungsi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat jika Kabinet terlibat di dalam keputusan penamatan Proklamasi Darurat dan ordinan-ordinan berkaitan.
Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang dilantik menganggotai jawatankuasa itu berkata, badan itu dilantik untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar di Malaysia dan penamatannya.
“Saya merupakan ahli jawatankuasa terlibat dilantik untuk menasihati Agong berkenaan penamatan darurat, jika keputusan dibuat Kabinet, tidak guna kami dilantik.
“Sedangkan keputusan nasihat untuk sambung atau tidak adalah tugas kami,” katanya dalam Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Kata Noh, sekiranya keputusan penamatan darurat telah dibuat, apa guna Sidang Khas Parlimen diadakan sejak semalam.
“Kalau betul darurat telah direvoke (ditamatkan), tiada guna kita ahli-ahli Parlimen berada di sini untuk berbincang,” katanya.
Semalam Takiyuddin memaklumkan kerajaan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk melanjutkan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sejak 11 Januari lalu dan sepatutnya tamat pada 1 Ogos ini.
Beliau juga berkata, berdasarkan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan, kerajaan juga memutuskan membatalkan semua ordinan yang dibuat sepanjang tempoh Proklamasi Darurat.