PETALING JAYA: Anggota kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengambil inisiatif sendiri menerusi Warga TNB Prihatin (WTP) dengan menghulurkan bantuan kepada masyarakat di kawasan kejiranan yang terputus bekalan makanan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berpanjangan.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, inisiatif ini bermula atas dasar keprihatinan warga kerja TNB dan ia disambut baik oleh pelbagai pihak termasuk orang awam.
Katanya, usaha murni warga kerja TNB mencerminkan pengertian mendalam aspek nilai keprihatinan syarikat dan menyokong program-program tanggungjawab syarikat TNB bagi membantu komuniti sekitar.
“Semangat berkongsi rezeki ini juga diperlukan dari semua pihak dalam suasana wabak virus korona yang masih belum reda kerana semakin ramai yang memerlukan bantuan akibat pandemik Covid-19 yang berterusan.
“Saya percaya sumbangan ini memberi begitu banyak makna kepada penerima dan saya harap ia menjadi titik tolak untuk lebih ramai lagi turut serta menghulurkan bantuan yang serupa,” katanya.
Antara inisiatif yang diadakan adalah menerusi anggota kerja TNB Kluang, Johor yang berpakat menyalurkan sumbangan barangan keperluan menerusi projek Gerobok Rezeki Staf TNB Kluang dengan sebanyak 376 bungkusan telah diagihkan TNB Kluang sejak tiga minggu lalu.
Anggota kerja TNB di anak syarikatnya, Kapar Energy Ventures Sdn Bhd (KEV) yang bertugas di Stesen Janaelektrik Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Klang, Selangor turut mengambil inisiatif dengan mewujudkan foodbank di beberapa kedai terpilih di sekitar kawasan Kampung Tok Muda, Serdang dan Pekan Kapar di Klang bagi meringankan beban penduduk.
Inisiatif foodbank turut dijalankan TNB Kemaman di Terengganu menerusi kutipan ikhlas dalam kalangan anggota kerja serta sumbangan orang awam untuk agihan penduduk setempat.
Sumbangan barangan keperluan makanan ini juga dilaksanakan warga kerja TNB menerusi pelbagai cawangan persatuan dan kelab dalam TNB, antaranya Persatuan Kebajikan Pekerja Islam TNB, Persatuan Wanita TNB (PELITAWANIS TNB) dan Kelab Kilat TNB dengan bungkusan makanan bernilai lebih RM320,000 telah diserahkan sehingga kini.
Di peringkat syarikat pula, TNB menerusi pengurusan tertinggi dan persatuan dalaman telah menubuhkan Tabung Warga TNB Prihatin (WTP) bagi mengumpulkan sumbangan sukarela warga kerja melalui penolakan gaji bulanan pada bulan Jun dan Julai.
Sejak dilancarkan pada 9 Jun lalu, lebih daripada RM1.57 juta telah berjaya dikumpul dengan lebih RM1.137 juta telah diagihkan kepada lebih 1,900 penerima di seluruh Semenanjung termasuk fakir miskin dan asnaf, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta mereka yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
Awal tahun ini, TNB telah menghulur bantuan kepada lebih 10,000 penerima daripada golongan B40 menerusi peruntukan sejumlah hampir RM9.5 juta bagi membiayai pembinaan semula dan membaiki rumah, mengagih bekalan makanan dan keperluan asas serta wang saku. – UTUSAN ONLINE