Ahli UMNO perlu patuh keputusan MT - Utusan Malaysia

Ahli UMNO perlu patuh keputusan MT

MADYASIR Ahmad Basir (depan, dua dari kiri) bersama Pemuda UMNO Pasir Gudang membuat laporan polis berhubung kenyataan Lim Kit Siang di IPD Seri Alam di Pasir Gudang, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pemimpin dan ahli UMNO di semua peringkat perlu akur dengan hala tuju yang diputuskan Majlis Tertinggi (MT) parti itu sama ada untuk kekal atau menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Madyasir Ahmad Basir berkata, hal itu kerana keputusan MT dibuat secara konsensus selain mengambil kira kebaikan untuk parti secara keseluruhan dan bukannya demi kepentingan peribadi.

“Sekiranya MT UMNO memutuskan agar menteri dan timbalan menterinya dalam kerajaan PN perlu menarik sokongan, mereka perlu akur dengan keputusan itu.

“Keputusan itu dibuat melalui saluran yang sah selain diputuskan untuk kebaikan parti. Sekiranya tidak dipatuhi kita bimbang pelbagai masalah lain akan timbul di kemudian hari” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam di sini, hari ini ekoran kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, baru-baru ini.

Baru-baru ini, dikhabarkan terdapat menteri atau timbalan menteri daripada UMNO mahu kekal berada dalam kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas satu pertemuan di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Pertemuan yang dikatakan turut disertai seorang menteri, seorang timbalan menteri dan seorang ahli Parlimen yang juga ketua Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menjadi tular dalam media sosial.

Sementara itu, berhubung laporan polis berkenaan, pihaknya menggesa agar tindakan tegas diambil terhadap Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu yang dilihat telah menyentuh sensitiviti masyarakat Islam di negara ini.

“Kami mengecam tindakan Kit Siang yang mengeluarkan kenyataan berbau hasutan itu dan Pemuda UMNO Pasir Gudang mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan sedemikian,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN