KOTA KINABALU: Ahli Parlimen UMNO Sabah masih kekal dengan pendirian untuk mengikut ketetapan yang dibuat oleh pucuk pimpinan biarpun Tan Sri Muhyiddin Yassin dikekalkan sebagai Perdana Menteri.
Situasi itu tidak akan menggugat sokongan ahli Parlimen di negeri ini kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, beliau akan mengikut ketetapan yang telah diputuskan oleh parti.
Malah, segala ketetapan yang dibuat sebelum-sebelum ini juga sentiasa disokong oleh kepimpinan UMNO negeri.
“Bagi ahli Parlimen UMNO Sabah, sama seperti diputuskan oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa apa juga keputusan, kita kena menjaga kepentingan rakyat dan negeri Sabah.
“Jadi, biarpun kita menyokong ketetapan parti di peringkat pusat namun, di peringkat negeri kita masih mengekalkan kerjasama yang sedia ada demi kepentingan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, jika dilihat sebelum ini pun kepimpinan UMNO jelas menyatakan akan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga satu tempoh tertentu.
Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dalam satu kenyataan menyatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal untuk terus memerintah kuasa Eksekutif Persekutuan meskipun UMNO menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin.
Di peringkat negeri, Bung Moktar menyatakan pendirian UMNO Sabah masih kekal untuk meneruskan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghormati mandat rakyat.
Biarpun UMNO Sabah bersetuju menarik sokongan daripada PN di peringkat persekutuan seperti yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO namun, kerjasama di peringkat negeri akan dikekalkan.