DUNGUN: Sebanyak tujuh kenderaan diarah berpatah balik ketika cuba merentas sempadan negeri sejak Ahad lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, daripada jumlah itu, enam kenderaan ditahan di sekatan jalan raya (SJR) Besut manakala sebuah lagi di Kemaman.
“Kesemua tujuh kenderaan itu dikompaun RM5,000 dan diarah berpatah balik kerana gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri daripada polis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Kuala Dungun hari ini.
Rohaimi berkata, hanya 583 kenderaan dari arah Pantai Barat direkodkan memasuki negeri ini pada hari pertama Hari Raya Aidiladha berbanding sehari sebelumnya sebanyak 1,669 kenderaan.
Katanya, pengurangan jumlah kenderaan itu sekali gus membuktikan kepatuhan rakyat terhadap arahan kerajaan di samping keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan kelonggaran aktiviti beriadah di taman-taman awam yang dibenarkan sejak 17 Julai lalu sebagai alasan untuk berkumpul.
“Jangan sesekali menjadikan kelonggaran itu sebagai titik pertemuan kerana kita dapati di kawasan Tok Jembal, terlalu ramai orang kebelakangan ini hingga polis terpaksa mengadakan kawalan dan memberi nasihat untuk bersurai jika tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menutup sebelah laluan dari Pantai Tok Jembal ke jambatan angkat bermula petang ini bagi mengawal pergerakan orang awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE










