56 ADUN Johor termasuk Muhyiddin terima notis minggu depan - Utusan Malaysia

56 ADUN Johor termasuk Muhyiddin terima notis minggu depan

SUHAIZAT KAIAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kesemua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menerima notis pemakluman pembukaan semula sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor mulai minggu depan.

Speaker DUN, Suhaizan Kaiat berkata, pihaknya kini sedang membuat persiapan terperinci menjelang pembukaan semula DUN Johor yang dijadualkan pada 12 Ogos ini.

Katanya, DUN Johor mempunyai tempoh 21 hari untuk menyerahkan notis berkenaan kepada kesemua wakil rakyat di negeri ini sebelum bersidang.

“Notis pembukaan semula DUN Johor akan dihantar kepada semua wakil rakyat di negeri ini termasuk Perdana Menteri yang juga ADUN Gambir mulai minggu depan.

“Persiapan sedang dibuat termasuk soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) mengikut nasihat Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Prosedur sama akan dilaksanakan seperti Sidang DUN Johor ketika pembentangan Bajet, Oktober tahun lalu antaranya saringan ujian Covid-19 kepada semua yang terbabit terutama wakil rakyat, petugas serta media membuat liputan, penjarakan kerusi selain pemasangan dinding penghadang, jika diperlukan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Minggu lalu, kerajaan negeri mengesahkan sudah menerima perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengadakan sidang DUN pada 12 Ogos depan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dilaporkan berkata, pihaknya juga sudah menerima surat rasmi daripada Seri Paduka yang memberi perkenan sidang DUN diadakan pada tarikh tersebut.

Terdahulu, ADUN Kempas yang juga bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian memaklumkan belum menerima apa-apa notis berhubung pembukaan semula Sidang DUN Johor.

Pada 23 Jun lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memperkenan supaya DUN Johor bersidang pada 12 Ogos ini dan baginda berkenan berangkat bagi merasmikan Pembukaan Penggal Persidangan Keempat pada tarikh tersebut yang akan diadakan di Kota Iskandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.